klik pasti untung

Senin, 07 Maret 2011

NAFKAH ISTERI


NAFKAH ISTERI (1/3)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Perkahwinan itu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia membawa kepada ketenteraman jiwa, menahan emosi, menutup pandangan dari segala yang dilarang dan untuk mendapatkan kasih sayang suami isteri yang dihalalkan.
Perkahwinan juga dapat menjalin ikatan kekeluargaan di antara keluarga suami dengan keluarga isterinya, iaitu memperkuat ikatan kasih sayang sesama mereka. Keadaan ini setentunya memberi sumbangan kepada kekukuhan keluarga dan masyarakat. Disamping itu perkahwinan juga berfungsi untuk mengembangkan keturunan.
Perkahwinan itu bererti tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh suami dan isteri. Antara tanggungjawab atau kewajipan suami terhadap isteri dan orang-orang yang di bawah tanggungannya adalah memberikan nafkah. Nafkah itu meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kewajipan memberi nafkah timbul kerana ikatan pernikahan iaitu suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Manakala jumlah nafkah yang wajib diberikan adalah mengikut kemampuan dan kebiasaan setempat.
Pengertian Nafkah
Nafkah ialah penunaian belanja daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya. (An-Nawawi: Raudah At-Talibin 6/449 & Al-Mawardi: An-Nafakat 29)
Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
Tafsirnya: "Dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya".
(Surah Al-Baqarah: 233)
Menurut tafsir Al-Mawardi bahawa maksud "al-maulud" dalam ayat di atas ialah bapa, "ar-rizq" maksudnya makanan secukupnya, "kiswah" ertinya pakaian. Manakala perkataan "al-ma‘ruf" ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan. (Tafsir Al-Mawardi: 1/300 & Al-Qurtubi: 2/845)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai seorang suami dan bapa yang menjadi contoh tauladan kepada umat manusia juga telah mengingatkan tentang kewajipan nafkah di dalam khutbah Baginda ketika menunaikan haji wada‘ yang maksudnya :
"Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang tidak engkau sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukainya. Mereka berhak atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik".
(Hadis riwayat Muslim)
Pembahagian Nafkah
Ulama membahagikan nafkah kepada dua bahagian iaitu nafkah diri sendiri dan nafkah terhadap orang lain. Dalam hal ini, seseorang hendaklah mendahulukan nafkah untuk dirinya daripada nafkah kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
"Mulailah dengan dirimu, maka sedekahkanlah jika ada kelebihan kepada ahli keluargamu, dan jika mempunyai kelebihan daripadanya berikanlah kepada kerabatmu"
(Hadis riwayat Muslim)
Menurut jumhur ulama, kewajipan nafkah terhadap orang lain, terjadi disebabkan oleh tiga perkara iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). (Raudah At-Talibin: 6/449)
Syarat Untuk Mendapatkan Nafkah
Apabila berlaku suatu akad nikah dengan memenuhi rukun dan syaratnya, maka seorang isteri dengan sebab adanya akad nikah itu, menjadikan dia terikat oleh suaminya, dia berada di bawah kekuasaan suaminya dan suami pula berhak menikmati dirinya. Si isteri wajib taat kepada suaminya, tinggal di rumah yang telah disediakan oleh suaminya, bertanggungjawab mengatur rumahtangga suami, mengasuh anak dan sebagainya.
Agama Islam telah menetapkan kepada suami supaya memberikan nafkah kepada isterinya selama perkahwinan itu berterusan. Walau bagaimanapun bagi mendapatkan nafkah tersebut, seorang isteri hendaklah memenuhi beberapa syarat. Apabila syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi maka seorang isteri itu tidak berhak menerima nafkah dari suaminya. Dalam kitab Al-Majmuk (19/344) Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
i.    Akad yang sah.
ii.    Perempuan itu sudah menyerahkan dirinya kepada suaminya.
iii.    Isterinya tidak keberatan untuk pindah ke rumah (suami) apabila suami menghendakinya.
Khusus mengenai kewajipan nafkah ke atas isteri adalah bersandarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuanya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan oleh Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan oleh Allah".
(Surah At-Thalaq:7)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengingatkan mengenai kewajipan nafkah terhadap isteri itu, sebagaimana khutbah Baginda dalam haji wada’ yang maksudnya :
"Ingat! Sesungguhnya kamu mempunyai hak terhadap isteri-isteri kamu, bagi isteri-isteri kamu juga mempunyai hak terhadap kamu. Adapun hak kamu terhadap isteri-isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan masuk ke tempat tidur kamu orang yang kamu tidak sukai dan mereka tidak membenarkan orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumah kamu. Sesungguhnya hak-hak isteri terhadap kamu ialah berbuat baik terhadap mereka (dengan memberikan) pakaian dan makanan mereka".
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Menurut As-Syeikh As-Syarbini bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;
i.    Makanan.
ii.    Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bawang, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya).
iii.    Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.
iv.    Pakaian.
v.    Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.
vi.    Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidor dan sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal (rumah). (Mughni Al-Muhtaj: 4/542 & Raudah At-Talibin: 6/450-461)
Maka penjelasan berikutnya hanya tertumpu kepada penjelasan mengenai nafkah makanan, pakaian, pembantu dan tempat tinggal sahaja.
Bersambung
NAFKAH ISTERI (2/3)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Nafkah Makanan
Suami wajib memberi nafkah makan kepada isterinya dengan makanan yang asasi bagi sesebuah negeri seperti beras di negara kita.
Jumlah nafkah yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya sama dengan jumlah kafarah sumpah yang dibayar kepada setiap orang iaitu satu mudd (Al-Majmuk: 19/360) iaitu kira-kira bersamaan 566.85 gram. Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :
"Daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu".
(Surah Al-Maidah: 89)
Mazhab Syafi‘e juga menetapkan bahawa pemberian nafkah tersebut iaitu pada setiap hari bermula dari terbit matahari. Bagi suami yang mampu/kaya, dia wajib memberi nafkah sebanyak dua mudd bersamaan 1 kilo 133.70 gram beras. Manakala suami yang tidak mampu hanya wajib memberi satu mudd iaitu 566.85 gram bagi setiap hari. Adapun orang pertengahan, wajib membayar 1½ mudd bersamaan 850.275 gram. (Raudhah At-Talibin: 6/450 & Al-Majmuk: 19/358) Walau bagaimanapun adalah harus pula memberi nafkah itu dengan segera atau melambatkannya tertakluk kepada persetujuan suami isteri tersebut. (Al-Fiqh wa Adillatuhu:10/7389)
Menurut Imam As-Syirazi pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan nilaian harga jika suami isteri bersetuju. (Al-Muhazzab: 4/607-608)
Termasuk dalam kategori makanan itu ialah lauk pauk, rempah- ratus, minyak makan dan sebagainya. Dari itu suami juga wajib menyediakan alat dapur seperti tempat memasak, pinggan mangkuk dan yang berkaitan dengannya. (Raudhah At-Talibin: 6/ 453)
Mengenai makanan daging, menurut Imam An-Nawawi, suami wajib memberikannya kepada isteri. Berdasarkan perkataan Imam As-Syafi‘e, suami yang kurang mampu hendaklah memberikannya seminggu sekali dan sunat memberikannya pada hari Juma‘at. (Raudhah At-Talibin: 6/452)
Kewajipan Menyediakan Pakaian
Adapun yang berkaitan dengan masalah pakaian, ulama sepakat menyatakan bahawa hal itu tergantunglah kepada kemampuan suami kerana tidak ada nas yang menentukan kadar dan jumlahnya, akan tetapi menurut mereka; hakim atau kadi boleh menentukan kadar dan jumlahnya itu dengan mempertimbangkan keadaan dan kemampuan suami. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu: 10/7389)
Menurut Asy-Syirazi bahawa suami wajib memberikan pakaian kepada isterinya pada setiap enam bulan sekali dengan makna yang lain dua kali dalam setahun. (Al-Muhazab: 4/613) Walau bagaimanapun Asy-Syirazi menyebutkan bilangan minima pakaian yang wajib diberikan oleh suami adalah tiga helai pakaian pada musim panas dan empat pada musim sejuk iaitu qamis yang menutup seluruh badan, Qina‘ (tudung) yang menutup kepala, seluar atau kain menutup badan dan jubah (long outer garment) pada musim sejuk. (Al-Majmuk: 19/362)
Termasuk dalam kategori pakaian yang wajib disediakan itu ialah milhafah (selimut), wisadah (bantal), labid (hamparan permaidani yang tebal atau tilam), hasyir (tikar) dan lain-lain. (Al-Majmuk: 19/362)
Al-Mawardi pula menyebutkan dalam kitab An-Nafakat bahawa suami hendaklah memberikan pakaian kepada isterinya bukan dengan nilaian harga pakaian itu kerana hak kepada isteri itu adalah pakaian bukan nilaian harganya, ini termasuk upah menjahit. (An-Nafakat 78)
Kewajipan Menyediakan Tempat Tinggal
Suami wajib menyediakan tempat tinggal atau rumah untuk isterinya sama ada dengan membeli, menyewa, meminjam atau didapatkan melalui wakaf. (Mughni Al-Muhtaj: 3/550) Hal ini sesuai dengan firman Allah Subhanhu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
Tafsirnya: "Tempatkanlah isteri-isteri kamu itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)."
(Surah At-Thalaq: 6)
Ulama juga sepakat mensyaratkan bahawa rumah yang disediakan itu hendaklah sempurna sebagaimana kelazimannya bagi sesebuah rumah yang mempunyai kemudahan-kemudahan seperti dapor dan perkakasnya, bilik air (tandas) serta kemudahan-kemudahannya, alat-alat pencuci, peralatan makan minum dan lain-lain, kecuali bagi suami yang tidak mampu mengadakan kemudahan-kemudahan tersebut. (Mughni Al-Muhtaj: 4/550 & Al-Fiqh Wa Adillatuhu: 10/7393).
Ayat di atas juga menjelaskan masalah tempat tinggal bagi perempuan dalam ìddah dan masalah perbelanjaan dalam masa tersebut iaitu para suami diperintahkan menempatkan isteri yang diceraikan itu di rumah-rumah kediaman mengikut kemampuan mereka. Mereka juga diperintahkan memberi nafkah kepada isteri-isteri hamil sehingga mereka bersalin iaitu masa berakhir ‘iddah. Tujuannya supaya para suami tidak akan menyakiti isteri-isteri mereka yang sedang dalam ‘iddah itu dengan menyempit-nyempitkan keselesaan tempat tinggal atau merendahkan tarafnya atau memberi layanan yang buruk. (Tafsir Fi Zilalil Qur’an (trj): 16/168)
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini bahawa tidak gugur nafkah isteri sekalipun isteri itu keluar rumah tanpa izin suami dan isteri tersebut tidak dianggap nusyuz dalam beberapa keadaan (Mughni Al-Muhtaj: 3/557), di antaranya adalah seperti yang dinyatakan di bawah ini:
(i) Apabila rumah tempat tinggal itu hendak runtuh.
(ii) Apabila dipaksa keluar daripada rumah itu secara zalim.
(iii) Apabila isteri bersendirian dalam rumah dan bimbang akan diri dan hartanya daripada orang fasiq dan pencuri.
(iv) Apabila dihalau keluar oleh tuan yang empunya rumah (rumah sewa atau seumpamanya) selain rumah suami.
(v) Apabila isteri keluar menemui kadi atau hakim bagi menuntut haknya daripada suami.
(vi) Apabila isteri hendak memohon fatwa.
(vii) Isteri keluar rumah tanpa izin (kerana ziarah atau mengucapkan takziah) kepada kerabat seperti bapa atau jiran, ketika suami berada di luar daerah atau negeri. Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini urf (kebiasaan) seperti ini tidak dianggap nusyuz.
Dalam hal ini Imam As-Syafi‘e menjelaskan bahawa suami mempunyai hak melarang isteri keluar rumah bagi menziarahi kedua ibu bapa siisteri sama ada mereka masih hidup atau sebaliknya. Walau bagaimanapun adalah sunat (mustahab) bagi suami memberi kebenaran kepada si isteri untuk menjengok kedua ibu bapanya (si isteri) apatah lagi menziarahi mayat mereka kerana perbuatan melarang siisteri keluar menziarahi mereka itu boleh mendatangkan kebencian kerana sikap benci-membenci itu adalah ditegah oleh Islam. (Al-Majmuk: 18/94-95)
Menurut pengarang kitab Fath Al-Mu‘in pula, keluar kerana mencari nafkah (rezeki) seperti berniaga atau bekerja disebabkan oleh suami yang mu‘sir (melarat) tidak dianggap nusuz. (Fath Al-Mu‘in: 4/122)

Bersambung
NAFKAH ISTERI (3/3)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu


Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa perempuan itu dua macam iaitu perempuan yang kebiasaannya mempunyai  pembantu (khadam) dan perempuan yang tidak mempunyai pembantu. Oleh yang demikian menurut mazhab Syafi‘è tidak wajib menyediakan pembantu bagi isteri jika suami tidak mampu. Walau bagaimanapun suami dituntut menyediakan pembantu jika isteri dari keluarga yang kebiasaannya mempunyai pembantu. (Raudhah At-Talibin: 6/453-455) Dalam hal ini, suami juga dituntut (wajib) membayar nafkah bagi pembantu tersebut seperti bayaran gaji, makan minum dan pakaian (sekali setiap enam bulan). (Raudhah At-Talibin: 6/453-455) 
Dalam pada itu Imam As-Syirazi pula menyebutkan bahawa suami hanya patut menyediakan seorang pembantu sahaja bagi isterinya dan pembantu itu adalah seorang perempuan atau seorang lelaki yang mempunyai hubungan mahram dengan siisteri. (Al-Majmuk: 19/367) 
Pekerjaan yang wajib dilakukan oleh seorang pembantu isteri itu hanyalah mengenai hal-hal yang khusus dan diperlukan oleh isteri sahaja seperti menyediakan makan minum isteri, membasuh pakaian isteri, memasak makanan isteri dan menganggkat air untuk mandian dan untuk minuman.  
Ada ulamak menyebutkan bahawa kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak makanan suami dan mencuci pakaian suami, bukanlah menjadi kewajipan isteri dan pembantu tersebut; isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela, bahkan ia adalah tugas suami sendiri atau ditangani oleh orang lain dengan cara upah dan sebagainya. (Al-Majmuk: 19/369 & I‘anah At-Thalibin: 4/114-115) Hukum ini adalah hasil ijtihad ulamak dan ia bertentangan dengan urf atau kebiasaan dalam masyarakat. Sedangkan urf dan kebiasaan itu boleh dipakai dalam menentukan dan menetapkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya, tetapi bukan sebagai kewajipannya. Beberapa alasan berikut juga boleh dijadikan hujah:  
i.  Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman kepada para isteri yang tafsirnya : 
 “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya”.
(Surah Al-Baqarah: 228)
Sebahagian ulamak tafsir menta’wilkan ayat di atas, supaya para isteri  berkhidmat dengan baik ke atas para suami sepertimana para isteri berbuat taat kepada suami mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.(At-Thabari:2/613-614)  
Pengarang kitab Fatawa Mu‘asyirah ada menyebutkan mengenai maksud perkataan al-makruf dalam ayat di atas, beliau berkata yang maksudnya : 
 “Khidmat seorang isteri kepada suaminya adalah makruf (kebaikan). Adapun membuat perempuan (isteri) itu bersenang-senang sementara lelaki melaksanakan urusan rumah seperti menyapu, mengisar gandum,  menguli tepung, membuat roti, membasuh … (lain-lain lagi), bukanlah perkara yang makruf, (kerana) lelaki itu bekerja dan membanting tulang di luar rumah, maka demi keadilan sewajarnya wanita berperanan melaksanakan tugas-tugas rumah tersebut.
(Fatawa muàsyirah: 1/506)
ii. Suami adalah qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘àla yang tafsirnya ; 
 “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita”.
(Surah An-Nisaa’: 34) 
Oleh yang demikian, isteri hendaklah menjaga kepentingan suami. Maka jalan yang serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya orang Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah manakala suami pula hanya membantu. Tidaklah menjadi kesalahan, jika ada suami yang berminat dan bersedia melakukan kerja-kerja di rumah seperti kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga melakukan perkara-perkara tersebut, sementara isteri pula bekerja di luar seperti berniaga dan sebagainya di atas kerelaan suami isteri.
iii. Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan kehidupan harian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat sebagai suami dan isteri, yang masing-masing itu memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain; Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam membantu dan menolong ahli keluarga Baginda telah dijadikan contoh tauladan oleh umat manusia. Baginda sebagai seorang Rasul sekaligus sebagai pemimpin negara tidak camah mata kepada ahli keluarga Baginda. Ini terbukti dalam satu riwayat daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya : 
 “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang  Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang  Bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid)”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hadis diatas disokong lagi oleh hadis-hadis lain yang menceritakan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri membuat kerja-kerja rumah seperti menjahit baju, mencuci pakaian, menampal kasut, memerah susu dan lain-lain, sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada seorang lelaki katanya yang maksudnya :   

 “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda sendiri telah menjahit baju dan menmpal kasut atau seumpama ini”.

(Hadis riwayat Ahmad)

 Dalam riwayat yang lain yang maksudnya ; 
 “Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab:”Baginda sendiri  menjahit bajunya dan menampal kasutnya, dan Baginda juga membuat pekerjaan yang dibuat oleh kebanyakkan orang lelaki (suami) di rumah-rumah mereka”.
(Hadis riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain lagi yang maksudnya ; 
 “Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda adalah manusia seperti manusia biasa di mana Baginda sendiri  membersihkan (mencuci) pakaiannya, memerah susu kambing dan membuat kerja-kerja (yang lain) untuk dirinya sendiri”.
(Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah bahawa mengurus rumah dengan membantu para isteri itu adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan amalan tersebut bukanlah sebagaimana anggapan sebahagian orang awam sebagai “queen control”. Maka perbuatan tersebut hendaknya dikekalkan demi kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga. 
Begitu juga kehidupan harian para sahabat sebagai suami isteri, masing-masing  mereka memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma’ binti Abu Bakar, isteri sahabat Zubair bin Al-Awwam, sentiasa membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkat air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Hal ini diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abi Mulaikah yang maksudnya;   
“Sesungguhnya Asma’ telah berkata: “Aku pernah memberikan khidmat (melayani) Az-Zubair dalam urusan rumahtangga. Dia (Az-Zubair) mempunyai seekor kuda dan akulah yang mengurusnya. Tidak ada suatu khidmat (kerja) yang lebih berat bagiku daripada mengurus kuda kerana akulah yang mencarikan rumput, menjaganya dan mengurus segala keperluannya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain yang maksudnya : 
“Daripada Asma’ binti Abu Bakar katanya: “Az-Zubair mengahwini aku, dia tidak mempunyai harta, hamba dan apa pun di muka bumi ini selain seekor kuda”. Kata Asma’ lagi: “Akulah yang memberi makan kudanya, mencukupkan keperluan makannya, mengurusnya, menumbuk biji kurma sebagai minumannya, memberinya makan, meminumkan air, melubangi timbanya dan mengadun roti. Tetapi aku tidak boleh membuat roti dengan baik, dan kaum wanita Ansharlah yang biasa membuatkan roti untukku. Mereka adalah para wanita yang ikhlas”. Beliau berkata lagi: “Aku biasa mengangkat biji kurma di atas kepalaku dari kebun Az-Zubair iaitu tanah yang diberikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tanah itu kira-kira jauhnya satu pertiga farsakh dari kota.” 
(Hadis riwayat Muslim) 
Dalam riwayat yang lain Fatimah telah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta seorang pembantu yang maksudnya; 

“Daripada Ali bin Abi Talib, sesungguhnya Fatimah pernah mengadu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, meminta kepada Baginda seorang pembantu. Lalu Baginda bersabda: “Bagaimana jika aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik untuk mu daripada seorang pembantu; iaitu kamu bertasbih kepada Allah sebanyak tiga puluh tiga kali ketika hendak tidur, bertahmid (memuji Allah) sebanyak tiga puluh tiga kali dan membaca takbir kepada Allah sebanyak tiga puluh empat kali”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas, Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah. Tetapi Baginda mengajar Fatimah perkara yang lebih baik daripada seorang pembantu. Dengan makna yang lain Baginda melazimkan Fatimah  agar terus melakukan sendiri kerja-kerja dan urusan rumahnya sekaligus tidak pula mengatakan kerja itu diserah kepada Ali kerana tanggungjawabnya sebagai suami. Jawapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada puterinya itu adalah suatu perakuan (taqrir) yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai oleh umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri.  
 Fatimah Az-Zahra adalah salah seorang puteri Nabi iaitu penghulu segala wanita. Sebagai isteri kepada Saiyidina Ali bin Abi Talib, beliau turut serta memberi khidmat kepada suaminya dan melakukan sendiri kerja-kerja memasak, membuat tepung, mengadun, membuat roti dan mengisar tepung sehingga pecah-pecah kedua tangannya.  
Berdasarkan hadis di atas juga Ibnu Hubaib mengatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memutuskan supaya Fatimah berperanan melakukan tugas-tugas dalaman, sementara Ali berperanan melakukan tugas-tugas luar. Maksud tugas-tugas dalaman ialah membuat tepung, memasak, menyapu dan semua kerja rumah. (Fath Al-Bari: 10/635)   
Berdasarkan hujjah-hujjah di atas, adalah elok  jika isteri dapat membuat pekerjaan atau perkara-perkara yang lazimnya dibuat oleh para isteri seperti memasak, mencuci pakaian, menyediakan makanan dan sebagainya untuk suaminya kerana agama Islam sangat menggalakkan umatnya bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan lain lebih-lebih lagi suami isteri. Dalam perkara tolong menolong dan bantu membantu ini Allah Ta‘àla telah menjelaskan dalam firmanNya yang tafsirnya :
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”
(Surah Al-Maidah: 2)

FirmanNya yang lain yang tafsirnya :
“Dan mereka pula bersegera pada membuat dan mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah dari orang-orang yang salih”.
(Surah Ali Imran: 114)
 Perkara sedemikian juga bersesuaian dengan budaya masyarakat Melayu iaitu kerja-kerja berat biasanya menjadi kewajipan suami manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi kewajipan isteri.

 

Nafkah ‘Iddah 

Nafkah wajib diberikan kepada perempuan yang sedang dalam ‘iddah. Perempuan yang ber‘iddah raj‘e berhak mendapatkan nafkah berdasarkan firman Allah Ta‘àla yang tafsirnya : 
 “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘idahnya) itu di tempat kediaman kamu”
(Surah At-Thalaq: 6)

Ayat di atas mewajibkan untuk memberikan tempat tinggal kepada isteri. Apabila tempat tinggal wajib diberikan, maka memberi nafkah juga wajib kerana nafkah itu mengikuti kewajipan memberikan tempat tinggal.

Wanita hamil yang ditalak juga berhak mendapatkan nafkah berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya”.
(Surah At-Thalaq: 6)

Berdasarkan ayat di atas nafkah adalah wajib ke atas perempuan hamil yang ber‘idah sama ada kerana talak raj‘i atau talak ba’in. Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini tidak wajib nafkah terhadap isteri yang ber‘idah kerana kematian suami sekalipun mengandung sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :  
 “Tidak (berhak) nafkah bagi isteri yang hamil dan kematian suami”.
(Hadis riwayat Ad-Daruqutni)

Manakala bagi perempuan yang sedang ber‘idah ba’in dan tidak hamil hanya berhak menerima tempat tinggal tanpa nafkah dan kiswah (pakaian). (Mughni Al-Muhtaj: 3/561-562)

Perempuan Yang Tidak Berhak Menerima Nafkah 

Berdasarkan syarat-syarat di atas, kewajipan suami dalam memberikan nafkah adalah bergantung kepada syarat-syarat yang mesti ditunaikan oleh isterinya. 
Imam An-Nawawi (Al-Majmuk: 19/244-247) menyebutkan bahawa perempuan yang tidak berhak untuk menerima nafkah itu terdiri daripada: 
(i) Isteri yang masih kecil (yang belum disetubuhi) sekalipun dia sudah menyerahkan dirinya untuk dicampuri. Berdasarkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika berkahwin dengan Aisyah Radhiallahu ‘ànha, Baginda tidak memberi nafkah selama dua tahun kerana belum mengaulinya. Sebaliknya jika yang masih kecil itu ialah  suami sedangkan isteri sudah baliqh, maka wajib bagi suami yang kecil itu memberi nafkah kepada isterinya.   
(ii) Apabila isteri berpindah dari rumah suaminya ke rumah lain tanpa alasan syar‘i atau pergi (musafir) tanpa izin suami. 
(iii) Apabila isteri berpuasa sunat atau beri‘tikaf sunat tanpa izin suami. 
(iv) Apabila isteri itu nusyuz (derhaka, berbuat maksiat terhadap suaminya atau tidak mahu mematuhi suaminya). 
Sebab-sebab di atas adalah menyebabkan seorang isteri itu tidak berhak menerima nafkah, kerana dia telah menghalangi hak suami untuk menikmati dirinya tanpa uzur yang dibenarkan oleh syara‘. 
Ulama juga sepakat mengatakan bahawa isteri yang dipenjarakan kerana melakukan kejahatan atau seumpamanya  tidak wajib diberikan nafkah. (Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 10/7382)  

Penutup 

Berdasarkan penjelasan yang telah dihuraikan di atas, dalam apa jua keadaan suami mempunyai satu darjat kelebihan ke atas seorang perempuan (isteri), kerana suamilah yang berkuasa mengawalnya dan memberi mereka nafkah, sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya : 
“Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darajat kelebihan atas orang-orang perempuan (isteri-isteri)”.
(Surah Al-Baqarah: 228)
Pendeknya, seorang isteri adalah menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik, maka begitulah juga suami menanggung kewajipan terhadap isterinya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik juga, sebagaimana dijelaskan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya : 
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (tidak dilarang oleh syarak)”.
(Surah Al-Baqarah: 228) 
===SELESAI===




Tidak ada komentar:

Posting Komentar